ARKIB : 12/01/2002
M. Nasir menghibur di wad
Oleh Rosmah Mohd. Dain
Agenda hariannya ketat dan masa baginya amat berharga. Tetapi ini bukanlah alasan kepada M. Nasir untuk meminggirkan penglibatannya dengan aktiviti-aktiviti masyarakat.
Baru-baru ini M. Nasir mengadakan persembahan amal kepada 33 kanak-kanak yang mengidap lukiemia di Wad KK3, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Biar pun persembahan itu tidak semeriah konsert-konsert yang pernah diadakan oleh M. Nasir tetapi bagi kanak-kanak berkenaan, kehadiran M. Nasir suatu yang besar maknanya.
Bagi M. Nasir kehadirannya menyanyi kepada kanak-kanak bukanlah suatu yang luar biasa. Malah menganggap semua yang dilakukan itu sebagai sumbangan khidmat sosialnya kepada masyarakat.
``Ini hanya sumbangan peribadi yang kecil daripada insan seperti saya untuk masyarakat yang memerlukan,'' kata Nasir ketika ditemui selepas program yang dianjurkan oleh 24 petugas DIGI Telecommunications Sdn. Bhd. Program itu dinamakan Program Eksekutif Kecemerlangan DIGI (DEEP) baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, M. Nasir turut ditemani oleh tiga pemenang Ratu Cantik Malaysia/Dunia 2001 iaitu Sasha Tan, Mandy Ng dan Adele Lim.
M. Nasir menegaskan, perkara yang dilakukan itu merupakan tanggungjawabnya sebagai manusia.
Katanya, dia dilahirkan bukanlah hanya untuk menyanyi sahaja malah harus memainkan peranan yang besar dalam memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat.
M. Nasir mengakui tidak kisah untuk mengunjungi dan menyanyi di wad tanpa tepuk sorak peminat. Sebaliknya menghiburkan kanak-kanak seperti yang dilakukan hari itu adalah sumba-ngan amal yang ikhlas.
``Mereka barangkali memerlukan saya,'' katanya.
Dalam kunjungan itu, M. Nasir menyatakan rasa pilunya melihatkan nasib kanak-kanak tersebut.
``Saya cuba menghiburkan mereka tetapi kita tidak tahu bagaimana reaksi mereka kerana mereka sakit. Kita tidak tahu bagaimana kesakitan yang mereka alami,'' katanya.
Menurut M. Nasir, dia hanya yang mampu memberikan anak-anak itu semangat dan harapan untuk meneruskan hidup ini.
No comments:
Post a Comment